Merujuk pada pertanyaan sdra Putra (dalam forum
permatakecil) tentang perbezaan tadika swasta dengan prasekolah
kementerian, sebenarnya terdapat beberapa faktor
yang menentukan kualiti sesebuah pusat pembelajaran kanak-kanak
(prasekolah/tadika), antaranya:
> Bangunan dan kemudahan fizikal
> Penaung/penganjur, Pengurus dan pembantu
Namun kami tidak mahu membincang topik ini
berdasarkan kedua-dua faktor di atas kerana sudah acapkali disentuh
oleh pihak lain.
Kami ingin menyentuh satu lagi aspek yang
sering kita terlepas pandang iaitu penglibatan keluarga kanak-kanak
di rumah. Hal ini sedikit sebanyak mempengaruhi sesebuah pusat pembelajaran
kanak-kanak di sesebuah pusat pembelajaran kanak-kanak. Penglibatan
di sini bermaksud sejauh mana iltizam ibu bapa terhadap pendidikan
anak mereka. Ibu bapa tidak semestinya kerap datang atau bertanya
guru tentang perkembangan anak mereka sebaliknya cukup dengan memainkan
peranan mengajar anak-anak di rumah. Selama ini ibu bapa memang
tiada masalah dalam mendidik anak-anak, cuma pada masa sekarang
sudah ramai ibu bapa yang tiada masa untuk mengajar anak mereka
seperti menulis dan membaca.
Sebenarnyalah; persediaan, perancangan, pendekatan
dan corak pengajaran guru adalah turut dipengaruhi oleh latar belakang
klien guru tersebut.
Perlu diingat bahawa mulai 2003 semua pusat
pembelajaran kanak-kanak MESTI mematuhi garis panduan yang telah
dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia termasuk mematuhi
sukatan pelajaran prasekolah yang dikeluarkan oleh kementerian.
Justeru tidak timbul lagi persoalan prasekolah swasta lebih baik
daripada prasekolah kelolaan kementerian. Malah, mana-mana pusat
pengajaran kanak-kanak yang tidak mengikuti garis panduan yang disediakan
oleh kementerian boleh dianggap kurang sesuai untuk kanak-kanak
Malaysia. Hal ini kerana sukatan pelajaran prasekolah yang ditetapkan
oleh kementerian adalah hasil kajian dan perbincangan para sarjana,
tokoh pendidik dan semua pihak bagi menyediakan rakyat Malaysia
yang mampu meneruskan kesinambungan perjuangan negara bangsa dan
negara kota.
Mengajar atau mendidik?
"Pening aku, sekejap 'ajar' sekejap
'didik'... mana satu nak ikut ni? Ni semua politik & bisnes
punya pasal. Sekali ubah, banyaklah peruntukan untuk tukar papan
tanda dan sebagainya...makin kayalah towkey-towkeh papan tanda..."
demikian keluh seorang rakan.
Apa pendapat anda? Sememangnya sejak merdeka
kita menggunakan istilah 'ajar' untuk sistem persekolahan di negara
kita. Pada masa era pentadbiran Tun Mahathir, penggunaan 'ajar'
diubah kepada 'didik'. Istilah didik digunakan bagi menekankan peranan
guru supaya lebih memberi tumpuan pada soal mendidik, bukan setakat
memberitahu atau 'memuat turun' maklumat ke dalam kotak memori pelajar.
Keperluan untuk memperolehi ilmu diseimbangkan dengan kerohanian
dan sahsiah. Kerajaan pada masa itu melihat fokus pembelajaran di
Malaysia agak terkeluar daripada landasan apabila kebanyakan guru
sekadar memindahkan maklumat yang terdapat di dalam kotak memorinya
ke dalam kotak memori para pelajar. Akhirnya dibimbangi kita sekadar
melahirkan generasi 'fotokopi' daripada generasi sebelum itu.
Penggunaan istilah baru ketika itu iaitu
'didik' menyedarkan semula para guru agar tidak terlalu 'mengajar'
sebaliknya turut memberi tumpuan pada usaha-usaha 'mendidik'.
Namun, oleh kerana terlalu lama dengan penggunaan
kata 'didik', timbul pula masalah apabila para pelajar semakin ramai
yang menjadi kurang ajar termasuklah kurang ajar terhadap guru mereka
sendiri. Hal ini amat berbeza dengan tradisi keilmuan yang amat
menekankan batas hubungan guru-murid.
Mendidik atau mengajar?
Sebagai guru, kita sepatutnya melakukan kedua-duanya.
Kita mendidik agar pelajar lebih berdikari dan bersahsiah tinggi.
Sambil itu kita perlu memperlihatkan kepada pelajar bahawa kita
adalah GURU yang tarafnya lebih tinggi daripada MURID. Ingat tak
cerita orang tua-tua iaitu tok guru dulu-dulu, jika ada 10 ilmu,
dia akan ajar 9 sahaja manakala 1 lagi akan disimpan kerana bimbang
anak muridnya melawan.
Bagi kami, jangan terima terus petua ini
tetapi jangan ditolak 100%. Selagi ianya adalah petua adalah baik
untuk kita ikuti. Meskipun petua seringkali tidak bersandarkan teori
dan bukti, namun petua diperturunkan dari satu generasi ke satu
generasi dan sentiasa diuji dan diiyakan oleh pengalaman peribadi
yang sukar dibuktikan kepada orang lain.
Justeru penggunaan kata 'ajar' diharap dapat
mengembalikan kedudukan guru di singgahsananya semula. 'Ajar' atau
'didik', tugas kita adalah melahirkan generasi yang akan memimpin
negara ini dan membawa ummat menuju kejayaan di dunia dan akhirat.
Wallahu 'alam
Wallahu 'alam.
Jumpa lagi.
Noor Azman Aminudin & Marhani Mohamad adalah guru di
prasekolah (Kementerian Pelajaran Malaysia) sepenuh masa dan kini
bertugas di negeri Melaka. Bermula sebagai guru mata pelajaran bagi
kelas biasa, pasangan suami isteri ini kemudiannya menyambung pengajian
Sarjana Muda Pendidikan Prasekolah di Universiti Sains Malaysia.
Selain itu, mereka juga terlibat dalam mengendalikan kursus-kursus
kenegaraan, jati diri dan motivasi pelajar, terutamanya di sekitar
Pulau Pinang, Melaka dan Johor. Mempunyai dua orang cahaya mata
lelaki berusia 6 dan 9 tahun.

Kami sedang menaik taraf morhabshi.com bagi meningkatkan perkhidmatan
kepada para pelanggan dan pengunjung morhabshi.com. Untuk sebarang
tempahan dan pertanyaan produk morhabshi, sila sms nama & alamat
ke 019 440 2211. Untuk maklumat lanjut berkenaan morhabshi sila
kunjungi wikipedia/morhabshi
Terima kasih dan sila datang lagi.
Home |
Berkenaan Kami |
Minyak Morhabshi |
Khazanah Morhabshi |
Hubungi kami
|